Monday, 23 July 2012

Lahirkan pemancing pro dan bersikap pro serentak

Lahirkan pemancing pro dan bersikap pro serentak

Oleh Kamal Ahmad

PEMANCING profesional memerlukan kelengkapan yang bersesuaian seperti bot dan tekong yang mahir ketika keluar ke laut.
PEMANCING profesional memerlukan kelengkapan yang bersesuaian seperti bot dan tekong yang mahir ketika keluar ke laut.
















MALAYSIA mampu melahirkan pemancing semi-profesional (semi-pro) atau profesional (pro) sepenuhnya. Ini dengan syarat, program melahirkan kelompok itu perlu dilakukan berdasarkan pelan induk projek industri memancing yang perlu dilaksanakan kerajaan. Ini boleh dilakukan seperti mana kita mahu melahirkan pemain pro sukan badminton, bowling, bina badan, skuasy, pemandu kereta formula, ahli sukan kategori individu lain mahupun angkasawan.
MALAYSIA mampu melahirkan pemancing semi-profesional (semi-pro) atau profesional (pro) sepenuhnya. Ini dengan syarat, program melahirkan kelompok itu perlu dilakukan berdasarkan pelan induk projek industri memancing yang perlu dilaksanakan kerajaan. Ini boleh dilakukan seperti mana kita mahu melahirkan pemain pro sukan badminton, bowling, bina badan, skuasy, pemandu kereta formula, ahli sukan kategori individu lain mahupun angkasawan. Ringkasnya, menggilap bakat dan mendidiknya menjadi pro.

Asas seseorang yang hendak menjadi pemancing pro mesti memiliki personaliti dan perawakan menarik. Ini kerana dia adalah duta dan model kepada sesuatu produk serta aksesori pancing. Personaliti duta yang menarik akan menarik perhatian, minat dan keinginan pengguna untuk membaca artikel, mendengar kempen serta menggunakan produk yang dipromosi atau diguna oleh duta atau model berkenaan. Ringkasnya, si kacak atau si cantik akan membantu melariskan jualan sesuatu produk.

Bak kata Mejar (B) Ismail Feisol: “Memancing adalah sesuatu yang glamour selain soal maruah.”

Calon pro juga mesti tahu dan mahir selok-belok memancing, mengetahui isu dan menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, petah bercakap, mendapat pendedahan dalam media serta menguasai semua maklumat berkaitan dunia memancing. Jadi, jika seseorang itu hebat atau pandai memancing tetapi jika tidak memiliki sifat atau kriteria disebutkan maka dia tetap sukar menjadi pemancing pro.

Inilah antara pelbagai keperluan dan kriteria yang ditetapkan syarikat yang hendak menaja pemancing pro. Syarikat itu yang membayar gaji seseorang pemancing pro yang akan mewakili dan mempromosi jenama keluarannya. Cuma kesukaran di Malaysia ialah rata-rata produk pancing berjenama diimport. Yang ada di sini adalah pengimport atau ejen. Komitmen mereka tidak 100 peratus kerana potensi kontrak mereka ditamatkan atau tidak diperbaharui. Lantas, urusan promosi termasuk melantik pemancing pro untuk mewakili jenama tertentu tidak menjadi keutamaan mereka.

Disebabkan sukan memancing pro sudah bertapak sekian lama di Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat maka pengeluaran set mesin dan joran serta aksesori pancing berjenama dan bermutu turut dimonopoli syarikat dari negara berkenaan. Sekurang-kurangnya ada lebih 60 syarikat dan pertubuhan di Amerika serta Kanada. Mereka menguasai pasaran produk dan aksesori pancing dunia. Dan, mereka adalah yang mencorakkan trend memancing sejak lebih 100 tahun lalu.

Contohnya, produk Minnow dikeluarkan pada 1936, Bobber (1947), Mitchell 300 (1949), Creme Plastic Worm (1949), Shakespeare Ugly Stick (1976) dan Fenwick (1972). “Kita tidak boleh fikir cara lebih baik untuk meraikan kejayaan mereka kecuali menghargai pencetus innovasi ini yang menjadi mercu tanda dan membentuk sukan memancing,” kata Presiden Yayasan Bot dan Memancing Rekreasi (RBFF) Amerika, Frank Peterson.

Jelas, mewujudkan satu produk baru keluaran Malaysia berasaskan gabungan teknologi dan pengalaman syarikat terbabit sangat perlu. Produk itu akan membantu usaha melahirkan pemancing pro yang menagih penajaan. Produk ini untuk pasaran rantau Asia Pasifik dengan tunggak promosinya adalah pemancing pro Malaysia.

Sebenarnya, projek industri memancing bukan mahu melahirkan pemancing pro semata-mata. Kalau dikira, berapa ramai pemancing pro yang boleh dilahirkan melalui satu program intensif, di negara ini. Namun yang utama dan sasaran ialah projek itu akan melahirkan seramai mungkin pemancing yang berfikiran positif, beretika dan bersikap pro. Dengan ada sejumlah yang ramai bagi pemancing sebegini, industri memancing negara akan mampu dipacu.

Pemancing yang bersikap pro akan memudahkan pengurusan, meringankan penguatkuasaan, mengurangkan kos penyelenggaraan dan baik pulih bagi kemudahan asas serta menjadi contoh dan ikutan kepada lebih ramai pemancing amatur untuk bersikap serupa. Mereka juga tidak akan merosakkan sumber. Memandangkan pemancing pro cenderung kepada aktiviti memancing ikan air tawar maka kemunculan lebih ramai pemancing pro di negara ini akan membantu usaha menangani pencemaran sumber air dan sungai.
Dengan melihat senario sumber dan sungai yang semakin banyak tercemar, maka kewujudan pemancing bersikap pro mampu mempromosikan aktiviti dan sikap yang mesra alam. Air dan ikan adalah asas kepada aktiviti memancing. Air yang cemar akan menyebabkan ikan pupus sekali gus mematikan sukan itu. Ternyata ikan dan aktiviti memancing memiliki rantaian impak yang sangat meluas.



  Malah Yayasan Pemancing Masa Depan - sayap pendidikan pemancing dalam industri memancing di Amerika turut berjaya bekerjasama dalam sistem pendidikan sekolah di seluruh negara itu. Yayasan yang melaksanakan program Physh Ed, menyediakan geran kepada guru pendidikan jasmani untuk mengajar memancing dan mengendali bot. Program seperti ini harus ada di Malaysia dan menjadi antara program untuk melahirkan pemancing pro dan bersikap pro.

Namun, jika tidak menjadi pemancing pro bukan bermakna penghujung dunia. Seseorang boleh menjadi pemancing yang berhemah. Dalam banyak sudut, pemancing yang bersikap pro ini juga penting diwujudkan kerana mereka mampu menukar corak dan budaya lama hobi memancing kepada pemancing era baru yang lebih bertanggungjawab. Mereka juga yang akan mendokong keseluruhan pertumbuhan sukan memancing dan bot.

Kelompok inilah yang bakal membeli aksesori pancing. Dan, aksesori pancing adalah tunggak kepada dunia profesional sukan memancing di mana-mana. Matlamat melahirkan pemancing pro dan pemancing bersikap pro ialah untuk mempromosi industri memancing yang mampu menjadi tunggak baru ekonomi negara.

FAKTA

  • Sebanyak 51 peratus pemancing di Amerika memiliki pendapatan AS$50,000 setahun.
  • Sebanyak 17 peratus pemancing di Amerika memiliki akses pendapatan lebih AS$100,000 setahun.
  • Lebih separuh pemancing di Amerika pernah memasuki kolej.

  • No comments:

    Post a Comment